KEMENAG PONTIANAK

KANTOR KEMENTERIAN AGAMA KOTA PONTIANAK, JL. ZAINUDDIN NO.4 KOTA PONTIANAK

Jangan Ghuluw Dalam Mengagungkan Manusia

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Sesungguhnya menghormati orang yang mempunyai kedudukan dari kalangan orang Islam merupakan sebahagian daripada perkara yang dituntut. Akan tetapi tidak boleh keterlaluan ataupun disebut juga sebagai ghuluw (melampaui batas). Islam tidak membenarkan seseorang itu mensucikan dan mengagungkan selain dari Allah seperti (mengagungkan) manusia yang masih hidup atau telah mati, batu-batu, pokok-pokok, malaikat, binatang,maqam-maqam dan lain-lain, dan tidak boleh juga pujian yang melampau.
Sabda Nabi SAW:
“Jangan kamu melampau di dalam memuji atau mengangkat kedudukan seperti melampaunya golongan Nasrani (di dalam mengangkat kedudukan) Ibnu Maryam (Nabi Isa a.s.). Sesungguhnya aku adalah hamba Allah, maka katakanlah: ‘Hamba Allah dan Rasulnya’.”
(H.R Bukhari dan Muslim)
Sabda Baginda SAW lagi:
“Janganlah kalian berlaku ghuluw (sikap berlebih-lebihan), kerana sesungguhnya kebinasaan orang-orang sebelum kalian adalah kerana bersikap ghuluw dalam agama.”
(Riwayat Ahmad. Isnadnya sahih menurut Syaikh Ahmad Syakir.)
Sejarah telah membuktikan bahawa kesesatan kaum terdahulu ada yang berpunca dari mengagungkan orang-orang soleh sehingga dibuat patung-patung yang asalnya hanya sebagai penghormatan tetapi akhirnya menjadi berhala yang disembah.
Dalam masalah ini kita perlu berhati-hati supaya kita tidak terlalu mengagungkan mana mana individu dengan apa-apa cara sekalipun, samada individu tersebut seorang ulama atau tokoh yang mempunyai kelebihan tertentu. Jika seseorang itu mengagungkan mana mana individu sekurang-kurangnya ia telah dihinggapi penyakit taksub dan lebih parah lagi ia boleh membawa kepada ‘ithro’ (mengangkat seseorang dengan kedudukan yang tidak sepatutnya).
Seseorang yang ghuluw di dalam mengagungkan individu juga berpotensi untuk terdedah kepada aktiviti yang bertentangan dengan ajaran Islam termasuklah dengan perbuatan syirik dan khurafat.
Para ulama seperti Yusuf al-Qardhawi menegaskan bahawa pemujaan dan pendewaan yang bersifat keterlaluan kepada mana-mana pemimpin atau terhadap orang yang dianggap soleh hukumnya adalah syirik dan membawa kepada kesesatan yang nyata. [Lihat Haqiqat Tauhid, Jilid. 2, Halam. 69.]
Dr. Shalih bin Fauzan bin Abdullah al-Fauzan hafizhahullah pula mengatakan, secara syariat ghuluw bererti berlebihan dalam mengangkat seseorang lebih dari kedudukannya seperti mengangkat seorang Nabi atau orang-orang soleh ke martabat rububiyyah dan uluhiyyah (ketuhanan). [Syarah Masail al-Jahiliah, hlm. 85]
Tiada siapa yang layak menerima pujian yang terbaik melainkan Allah . Seseorang yang beradab kepada Allah akan merasa di dalam dirinya banyak kelemahan walaupun manusia memuji atas kemuliaan dan kebijaksanaannya. Sedangkan Rasulullah SAW yang merupakan makhluk paling mulia di atas muka bumi ini tidak selesa dengan puji-pujian yang melampau ke atas diri baginda. Wallahua’lam.




sumber: https://peribadirasulullah.wordpress.com/2015/10/07/jangan-ghuluw-dalam-mengagungkan-manusia/

0 Response to "Jangan Ghuluw Dalam Mengagungkan Manusia"

Posting Komentar